Sunday, November 4, 2007



Istana kayu ini terdiri daripada beberapa panel berukir halus dan sepasang pintu gelengsar berat yang tidak boleh ditemui di sebarang tempat di Semenanjung Malaysia pada masa sekarang.
Istana ini telah dibina di atas permatang yang menghala ke sebuah sawah padi yang luas oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-5, iaitu Yamtuan Ulin (dikenali sebahai Yamtuan Imam) yang memerintah dari tahun 1861-1869. Bangunan ini berukuran 66 1/2 kaki panjang dan 23 1/2 kaki lebar. Apabila istana ini siap, Yamtuan telah menghadiahkan istana ini kepada puterinya, Tunku Cindai apabila puteri baginda berkahwin dengan Tengku Muda Chik, putera Yamtuan ke-4, Yamtuan Radin. Istana ini terletak kira-kira enam batu dari Seri Menanti. Tengku Muda Chik telah menambahkan lebih banyak panel berukir dan tinggal di sana bersama-sama isterinya. Istana ini kemudiannya telah diberikan kepada puteri mereka Tunku Halijah yang berkahwin dengan Yamtuan Muhammad, Yamtuan ke-7 sebagai isteri keduanya. Apabila Tunku Halijah meninggal pada tahun 1921, ia telah dihuni dari semasa ke semasa oleh anggota keluarga yang lain. Tetapi mulai kira-kira tahun 1930, ia tidak lagi dihuni secara tetap dan kemudiannya terbiar tanpa dibaiki langsung.
Pada tahun 1953, Yamtuan ke-8, Tunku Abdul Rahman memberi kebenaran supaya bangunan lama yang tidak beratap ini dibuka dan dipindahkan ke Seremban. Kemudian pada tahun 1980 bangunan ini telah dipindahkan ke Tapak Kompleks Taman Seni Budaya dan kini sebagai salah satu daripada tempat sejarah yang perlu dilawati.

No comments: